Sunday, February 13, 2011
JadilaH Lelaki
Jadilah seorang lelaki yang beriman,
Yang hatinya disalut rasa taqwa kepada Allah,
Yang jiwanya penuh penghayatan terhadap Islam,
Yang sentiasa haus dengan ilmu,
Yang sentiasa dahaga akan pahala,
Yang solatnya adalah maruah dirinya,
Yang tidak pernah takut untuk berkata benar,
Yang tidak pernah gentar untuk melawan nafsu,
Yang sentiasa bersama kumpulan orang-orang yang berjuang di jalan Allah.
Jadilah seorang lelaki,
Yang menjaga tutur katanya,
Yang tidak bermegah dengan ilmu yang dimilikinya,
Yang tidak bermegah dengan harta dunia yang dicarinya,
Yang sentiasa berbuat kebajikan kerana sifatnya yang penyayang,
Yang mempunyai ramai kawan dan tidak mempunyai musuh yang bersifat jembalang.
Jadilah seorang lelaki,
Yang menghormati ibu bapanya,
Yang sentiasa berbakti kepada orang tua dan keluarga,
Yang bakal menjaga kerukunan rumahtangga,
Yang akan mendidik isteri dan anak-anak mendalami Islam,
Yang mengamalkan hidup penuh kesederhanaan,
Kerana dunia baginya adalah rumah sementara menuju akhirat.
Jadilah seorang lelaki,
Yang sentiasa bersedia untuk menjadi imam,
Yang hidup di bawah naungan al-Quran dan mencontohi sifat-sifat Rasulullah,
Yang boleh diajak berbincang dan berbicara,
Yang menjaga matanya dari berbelanja,
Yang sujudnya penuh kesyukuran dengan rahmat Allah ke atasnya.
Jadilah seorang lelaki,
Yang tidak pernah membazirkan masa,
Matanya kepenatan kerana membaca al- Quran,
Suaranya lesu kerana penat berzikir,
Tidurnya lena dengan cahaya keimanan,
Bangunnya Subuh penuh kecergasan,
Kerana sehari lagi usianya bertambah kematangan.
Jadilah seorang lelaki,
Yang sentiasa mengingati mati,
Yang baginya hidup di dunia adalah ladang akhirat,
Yang mana buah kehidupan itu perlu dibaja dan dijaga,
Agar berputik tunas yang bakal menjaga baka yang baik,
Meneruskan perjuangan Islam sebelum hari kemudian.
Jadilah seorang lelaki,
Yang tidak terpesona dengan buaian dunia,
Kerana dia mengimpikan syurga Allah.
Friday, February 11, 2011
"DOA KU"
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Segala puji bagi Allah Tuhan pentadbir seluruh alam. Selawat dan sejahtera semoga dilimpahkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad yang semulia-mulia pesuruh-Nya, serta ke atas keluarga dan sekalian sahabat-sahabatnya.
Ya Allah, wahai Tuhan kami, hidupkan kami dengan iman, matikan kami dalam iman, serta masukkan kami ke dalam syurga bersama-sama iman.
Ya Allah, ya Tuhan kami, ampunilah segala dosa kesalahan kami dan dosa-dosa kesalahan kedua ibu bapa kami, serta kesihanilah kedua ibu bapa kami sebagaimana mereka berdua mengasihani kami semasa masih kecil.
Ya Allah, akhirilah umur kami dengan kesudahan yang baik dan janganlah kiranya Engkau akhirkan umur kami dengan kesudahan yang tidak baik.
Ya Allah, ya Tuhan kami, janganlah kiranya Engkau pesongkan iman kami sesudah Engkau kurniakan kepada kami petunjuk. Anugerahilah kami rahmat kerana sesungguhnya Engkau Maha Pengurnia.
Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia ini dan juga di akhirat, dan peliharalah kami daripada azab neraka.
Semoga Allah mencucuri rahmat dan sejahtera ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan ke atas seluruh keluarga dan sahabat-sahabat baginda. Dan segala puji itu tertentu bagi Allah, Tuhan pentadbir seluruh alam.
AMIN.
Aku Ingin Berubah

KISAH NABI SULAIMAN DAN RATU BALQIS
"APABILA ratu itu sampai tanyakan, apakah takhtamu serupa ini?" Jawab ratu, "Seolah-olah inilah dia. Dan kepada kami telah diberikan pengetahuan sebelum ini, dan kami adalah orang-orang yang tunduk kepada Tuhan. (an-Naml: 42)
RATU Balqis terpaksa datang mengadap Nabi Sulaiman di istana bagi menyelamatkan diri dan kerajaannya. Ini kerana Nabi Sulaiman bersama bala tenteranya berjanji untuk memerangi Ratu Balqis sekiranya dia enggan beriman kepada Allah SWT.
Maka Ratu Balqis bersama pembesar-pembesar berangkat menuju ke istana Nabi Sulaiman. Setelah sampai di hadapan istana Nabi Sulaiman, Ratu Balqis berasa bingung dan ragu-ragu kerana istana Nabi Sulaiman menyerupai istananya.
"Wahai Balqis, adakah istana aku ini sama dengan istanamu di Saba'?," tanya Nabi Sulaiman kepadanya.
"Memang bentuk istana ini menyerupai istana aku," jawab Ratu Balqis.
"Ini adalah istanamu, aku membawa istanamu ke mari dengan mudahnya kerana Allah SWT telah memberi pengetahuan kepada aku. Sesungguhnya aku tunduk dan beriman kepada-Nya."
"Aku yakin ini adalah istanaku," jawab Ratu Balqis lagi.
Kemudian, Ratu Balqis dipersilakan masuk ke dalam istana yang lantainya diperbuat daripada kaca yang putih bersih, rata dan licin. Di bawahnya dialirkan air sehingga nampak seakan-akan lantai istana itu penuh dengan air.
Ratu Balqis pun masuk ke dalam istana Nabi Sulaiman. Ketika berjalan masuk ke dalam istana itu, Ratu Balqis menyingkap kainnya agar tidak membasahi gaun yang dipakai sehingga menampakkan kedua-dua betisnya. Dia menyangka lantai istana itu dipenuhi dengan air.
"Tidak usahlah kamu menyingkap kainmu itu. Lantai itu bukannya dipenuhi dengan air tetapi ia diperbuat daripada kaca yang sangat nipis dan licin. Oleh kerana itulah ia nampak berkilau-kilauan seperti adanya air," kata Nabi Sulaiman.
"Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiayai diriku sendiri dengan menyembah matahari. Aku telah tersesat dan melalaikan nikmat yang diberikan oleh-Mu. Ampunilah diriku ini. Kini aku tunduk kepada-Mu dan berserah diri kepada Sulaiman, nabi-Mu dengan penuh keyakinan. Kasihanilah diriku wahai Tuhanku sekelian alam. Sesungguhnya hanya Engkaulah yang berhak disembah," kata Ratu Balqis.